05 March 2010

ROTI

Roti penuh kasih sayang

Muhammad seorang anak yang bijak dan aktif. Dia suka makan roti bersalut mentega kacang dan coklat. Tetapi, dia tidak mahu makan roti yang tidak dibuang keraknya. Dia berkeras bila ibu dan bapanya memujuk dia makan keseluruhan roti. Dia membiarkan roti tersebut di dalam piring tanpa diusik. Dia merajuk dan terus duduk menonton televisyen. Tiba-tiba Muhammad melihat slot iklan yang memohon sumbangan bagi mengurangkan kesengsaraan penduduk di Semenanjung Gaza, Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. Ada sekumpulan kanak-kanak menangis kelaparan. Dia terkejut melihat mereka berebut sekeping roti kosong dan hanya dapat makan secubit roti. Air mata Muhammad mengalir perlahan. Dia berasa berdosa kerana tidak menghargai rezeki yang ada lalu berlari mendapatkan ibu bapa dan meminta maaf. Bapa Muhammad tersenyum.


“Apabila kita bersyukur dengan rezeki yang Tuhan berikan dan tidak membazir, kita adalah manusia yang penuh kasih sayang. Di luar sana ramai yang kelaparan. Jadi, belajarlah menginsafi kehidupan orang lain.” Muhammad mula faham mengapa ibu bapanya selalu memaksa dia makan keseluruhan roti kerana kerak roti pun sedap juga.